Sunday, January 6, 2013

Tan Sri Dato' Dr. Yahya Bin Awang



Pro-Canselor


Tan Sri Dato' Dr Yahya Awang, Malaysia, berusia 62 tahun telah dilantik sebagai Pro-Canselor UTM pada tahun 2011. Tan Sri berkelulusan dari Monash University di Australia dengan Ijazah Sarjana Muda Perubatan Pembedahan (MBBS) pada tahun 1974. Pada tahun 1980, Tan Sri telah dilantik sebagai Fellow di Royal College of Surgeons and Physicians di Glasgow (FRCS). Berhijrah ke London pada tahun 1981, Tan Sri bekerja sebagai Pendaftar Pembedahan di Jabatan Pembedahan Kardiotorasik di Hospital Brampton sebelum kembali ke Malaysia dan menjawat jawatan sebagai Pakar Bedah Kardiotorasik di Hospital Besar. Pada tahun 1985, beliau telah dilantik sebagai Ketua dan Perunding Kanan Pembedahan Kardiotorasik di Hospital Besar. Dari tahun 1992 sehingga tahun 2002, Tan Sri memegang jawatan sebagai Ketua dan Perunding Kanan Pembedahan Kardiotorasik di Institut Jantung Negara, Malaysia; dan dari 1998 hingga 2002 beliau juga adalah Pengarah Perubatan di situ. 

Banyak kejayaan dan pencapaian profesional Tan Sri termasuklah melakukan pembedahan jantung terbuka pada Tun Dr. Mahathir Mohamad pada tahun 1989, merintis penubuhan Institut Jantung Negara Malaysia pada tahun 1992 dan melakukan pemindahan jantung yang pertama di Malaysia pada tahun 1998. Tan Sri telah banyak mengarang artikel ilmiah dan profesional dan telah banyak membuat perbincangan dengan golongan profesional. Tan Sri adalah Pakar Bedah Kardiotorasik di Hospital Pakar Damansara. Beliau juga merupakan Pengerusi Daftar Pemindahan Kebangsaan dan ahli majlis Persatuan Doktor Torasik dan Kardiovaskular Asia.

No comments:

Post a Comment